Saturday, 31 March 2012


Artikel Terbitan Unit Bimbingan dan Kaunseling Sempena Pelancaran Minggu PPDa 2012

DADAH PENGHANCUR UMAT MANUSIA

Saban hari media massa sering memaparkan peristiwa pergolakan yang melanda negara-negara luar khususnya Asia  Barat seperti Palestin, Iraq, Mesir, Libya dan sebagainya.  Peperangan mengakibatkan pertumpahan darah, kemusnahan harta benda dan juga kematian berikutan penggunaan pelbagai senjata peperangan yang moden dan canggih.  Lebih hebat lagi ada senjata  mortar dan bom berangkai yang mampu menghancurkan jasad manusia menjadi cebisan-cebisan daging. 
Kita di Malaysia yang aman dan damai ini pasti berasa lega kerana negara kita tidak berlaku peperangan.  Namun, sedarkah kita bahawa umat manusia khususnya di negara kita sedang dihancurkan secara perlahan-lahan dan ‘halus’ oleh ‘senjata’ yang lebih berbahaya, bahkan bahayanya mengatasi kecanggihan senjata moden yakni DADAH durjana.  Dadah inilah yang menjadi senjata ‘halus’ menghancurkan umat manusia di serata dunia. 
                Dadah lebih berbahaya kerana pengambilannya meninggalkan kesan buruk dalam jangka panjang.  Dadah  bukan sahaja membinasakan fizikal, bahkan menghilangkan akal dan meruntuhkan agama.  Doktor Ahmad Sayuqi Al-Fanjari di dalam rencananya yang disiarkan oleh Majalah Al-Wayul Islam keluaran Februari 1985 menyebutkan bahawa daripada dalil-dalil yang disebutkan, dadah itu adalah lebih besar haramnya daripada arak dan tiga sebab utamanya ialah:-
a.  Dadah menghilangkan akal kerana ianya bukan sahaja membawa
     kepada mabuk tetapi
     juga membawa kepada hilang akal.  Oleh itu dadah adalah haram;
b.  Dadah membawa kebinasaan harta benda kerana dadah membawa pengangguran pada
    permulaannya, dan juga perbelanjaannya lebih besar daripada arak, maka oleh itu ia adalah haram;
     dan
c.  Dadah membawa kepada kebinasaan jiwa kerana dadah menyebabkan si penagih mati lebih awal maka dengan sebab itu adalah haram

      Menggunakan dadah dapat diibaratkan sebagai perbuatan membinasakan dan 
membunuh diri. Sedangkan Allah (S.W.T) berfirman di dalam Surah An-Nisa; ayat 29 bermaksud:- 
"Janganlah kamu membunuh diri kamu kerana sesungguhnya Allah (S.W.T.) maha belas kasihan kepada kamu".

Firman-Nya lagi di dalam Surah Al-Baqarah (ayat 195) bermaksud:-
        "Dan jangan kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan".

Logiknya, perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan dan menghilangkan kewarasan fikiran perlulah dijauhi.  Orang yang hilang kewarasan sama halnya dengan orang yang berpenyakit mental kerana kesukaran membezakan yang baik dan buruk.  Justeru terzahirlah pelbagai tingkah laku yang bertentangan dengan nilai dan ajaran agama.  Kebanyakan kes jenayah seperti jenayah ragut, rogol, bunuh dan sebagainya berlaku akibat pelakunya di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
 Sifat malu yang sepatutnya menjadi benteng pertahanan harga diri juga runtuh  akibat dadah durjana.  Tidak hairanlah jika kes-kes perzinaan meningkat seolah-olah perkara terkutuk dan terlaknat oleh Allah swt ini tidak menjadi kesalahan.   Statistik menunjukkan 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!.  Inilah bukti  penyakit syahwat dan keruntuhan moral yang sedang menghancurkan umat manusia lantaran terlalu menurut hawa nafsu.
 Jelaslah di sini, dadah dan alkohol menjadikan kita lalai daripada mengingati Tuhan sedangkan kita diciptakan lengkap dengan panduan dan ajaran agama agar hidup kita sejahtera mengikut kehendak-Nya.  Ibarat barangan yang dijual di pasaran dilengkapkan dengan manual pengguna untuk membantu kita mengendalikan peralatan tersebut dengan betul dan tidak cepat rosak.  Kita sebagai manusia juga diciptakan lengkap dengan panduan hidup agar kita dapat menjalani hidup dengan sejahtera dan tidak tersasar daripada landasan agama.
                Oleh itu, wahai remaja marilah kita bersama-sama membuat penilaian dan membuat pilihan yang terbaik dalam hidup kita. Baik atau buruk, berjaya atau gagal adalah buah fikiran kita sendiri.  Walaupun dosa sebesar dunia sekalipun, ingatlah Allah maha pengampun dan penyayang.  Pilihlah kebaikan.  Jangan berputus asa dalam mengharap rahmat Allah.  Kehidupan kita bukanlah setakat di dunia ini sahaja, tetapi lebih penting lagi kehidupan di akhirat yang kekal abadi.  Janganlah kerana kelalaian kita menjalani kehidupan yang amat  singkat di dunia ini, kita mendapat azab sepanjang hayat di akhirat kelak.  Wallahu’alam..                                                     

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.