Artikel Terbitan Unit Bimbingan dan Kaunseling Sempena Pelancaran Minggu PPDa 2012
DADAH PENGHANCUR UMAT MANUSIA
Saban hari media massa sering memaparkan peristiwa pergolakan
yang melanda negara-negara luar khususnya Asia
Barat seperti Palestin, Iraq, Mesir, Libya dan sebagainya. Peperangan mengakibatkan pertumpahan darah,
kemusnahan harta benda dan juga kematian berikutan penggunaan pelbagai senjata
peperangan yang moden dan canggih. Lebih
hebat lagi ada senjata mortar dan bom
berangkai yang mampu menghancurkan jasad manusia menjadi cebisan-cebisan
daging.
Kita di Malaysia yang aman dan damai
ini pasti berasa lega kerana negara kita tidak berlaku peperangan. Namun, sedarkah kita bahawa umat manusia khususnya
di negara kita sedang dihancurkan secara perlahan-lahan dan ‘halus’ oleh
‘senjata’ yang lebih berbahaya, bahkan bahayanya mengatasi kecanggihan senjata
moden yakni DADAH durjana. Dadah inilah
yang menjadi senjata ‘halus’ menghancurkan umat manusia di serata dunia.
Dadah lebih berbahaya kerana
pengambilannya meninggalkan kesan buruk dalam jangka panjang. Dadah bukan
sahaja membinasakan fizikal, bahkan menghilangkan akal dan meruntuhkan agama. Doktor Ahmad Sayuqi Al-Fanjari di dalam
rencananya yang disiarkan oleh Majalah Al-Wayul Islam keluaran Februari
1985 menyebutkan bahawa daripada dalil-dalil yang disebutkan, dadah itu adalah
lebih besar haramnya daripada arak dan tiga sebab utamanya ialah:-
a. Dadah
menghilangkan akal kerana ianya bukan sahaja membawa
kepada mabuk tetapi
kepada mabuk tetapi
juga membawa kepada hilang akal. Oleh itu
dadah adalah haram;
b. Dadah
membawa kebinasaan harta benda kerana dadah membawa pengangguran pada
permulaannya, dan juga perbelanjaannya lebih besar daripada arak, maka oleh itu
ia adalah haram;
dan
c. Dadah
membawa kepada kebinasaan jiwa kerana dadah menyebabkan si penagih mati lebih
awal maka dengan sebab itu adalah haram
Menggunakan dadah dapat diibaratkan sebagai perbuatan membinasakan dan
membunuh diri. Sedangkan Allah (S.W.T) berfirman di dalam Surah An-Nisa; ayat
29 bermaksud:-
"Janganlah
kamu membunuh diri kamu kerana sesungguhnya Allah (S.W.T.) maha belas
kasihan kepada kamu".
Firman-Nya
lagi di dalam Surah Al-Baqarah (ayat 195) bermaksud:-
"Dan
jangan kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan".
Logiknya, perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan dan
menghilangkan kewarasan fikiran perlulah dijauhi. Orang yang hilang kewarasan sama halnya
dengan orang yang berpenyakit mental kerana kesukaran membezakan yang baik dan
buruk. Justeru terzahirlah pelbagai
tingkah laku yang bertentangan dengan nilai dan ajaran agama. Kebanyakan kes jenayah seperti jenayah ragut,
rogol, bunuh dan sebagainya berlaku akibat pelakunya di bawah pengaruh dadah
dan alkohol.
Sifat malu yang sepatutnya
menjadi benteng pertahanan harga diri juga runtuh akibat dadah durjana. Tidak hairanlah jika kes-kes perzinaan
meningkat seolah-olah perkara terkutuk dan terlaknat oleh Allah swt ini tidak
menjadi kesalahan. Statistik menunjukkan 2,500 kes anak luar nikah direkodkan
pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu
kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!. Inilah bukti penyakit syahwat dan keruntuhan moral yang
sedang menghancurkan umat manusia lantaran terlalu menurut hawa nafsu.
Jelaslah di sini, dadah dan alkohol menjadikan
kita lalai daripada mengingati Tuhan sedangkan kita diciptakan lengkap dengan
panduan dan ajaran agama agar hidup kita sejahtera mengikut kehendak-Nya. Ibarat barangan yang dijual di pasaran
dilengkapkan dengan manual pengguna untuk membantu kita mengendalikan peralatan
tersebut dengan betul dan tidak cepat rosak.
Kita sebagai manusia juga diciptakan lengkap dengan panduan hidup agar
kita dapat menjalani hidup dengan sejahtera dan tidak tersasar daripada
landasan agama.
Oleh
itu, wahai remaja marilah kita bersama-sama membuat penilaian dan membuat
pilihan yang terbaik dalam hidup kita. Baik atau buruk, berjaya atau gagal
adalah buah fikiran kita sendiri.
Walaupun dosa sebesar dunia sekalipun, ingatlah Allah maha pengampun dan
penyayang. Pilihlah kebaikan. Jangan berputus asa dalam mengharap rahmat
Allah. Kehidupan kita bukanlah setakat di
dunia ini sahaja, tetapi lebih penting lagi kehidupan di akhirat yang kekal
abadi. Janganlah kerana kelalaian kita
menjalani kehidupan yang amat singkat di
dunia ini, kita mendapat azab sepanjang hayat di akhirat kelak. Wallahu’alam..